Berangkat menyaksikan perlawanan Piala Malaysia





Oleh : Marlinawaty Hussin / Foto : Mohamad Azmi Awang Damit, Mohammad Hasif Matzin

 






BERAKAS, Sabtu, 7 Februari. - Kuching City FC berjaya menumpaskan DPMM FC dengan keputusan 3 - 1 dalam aksi suku akhir pertama Piala Malaysia 2025/2026 yang diadakan di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, malam tadi.


Berangkat menyaksikan perlawanan berkenaan, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri; dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah binti Pengiran Haji Salleh Ab. Rahaman.


Berangkat sama ialah paduka-paduka anakanda Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Muneerah Madhul Bolkiah, Yang Teramat Mulia Pengiran Muda Muhammad Aiman dan Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Faathimah Az-Zahraa' Raihaanul Bolkiah.


Menjunjung keberangkatan tiba Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Nazmi Mohamad.


Pada perlawanan tersebut, pasukan pelawat Kuching City FC membuka jaringan pada minit ke-39 menerusi pemain Jerome Mpacko Etame.


DPMM FC berjaya meraih gol penyamaan pada separuh masa kedua apabila pemain Kuching City FC, James Onyekachukwu Okwuosa menjaringkan bola ke gawang sendiri pada minit ke-50.


Pada minit ke-64, Kuching City FC menambah jaringan selepas penjaga gol DPMM FC, Awang Muhammad Haimie Abdullah Nyaring, gagal menangkis bola hasil sepakan pemain lawan.


Tekanan berterusan akhirnya membuahkan hasil apabila Kuching City FC menambah jaringan ketiga pada minit ke-83 menerusi Muhammad Ramadhan Saifullah Usman.


Ketua Jurulatih DPMM FC, Jamie McAllister, dalam sidang media berkata, jaringan gol di gawang sendiri oleh pasukan DPMM FC berlaku kerana kesilapan individu dan, bagi setiap pasukan, memang ada individu yang akan membuatkan kesilapan namun fokus perlu diteruskan.


Mengulas mengenai pasukan lawan, beliau memuji kualiti pemain pasukan Kuching City FC dan kedudukan pasukan tersebut dalam liga jelas menunjukkan prestasi mereka.


Bagi perlawanan seterusnya, Jamie McAllister berkata pasukannya akan bermain lebih agresif dan meningkatkan usaha bagi mendapatkan gol pertama.


Sementara itu, Jurulatih Kuching City FC, Aidil Sharin Sahak mengucapkan rasa syukur atas kemenangan pasukannya dan memberi penghargaan kepada pemain-pemain yang telah bekerja keras pada malam itu untuk mendapatkan kemenangan.


"Pasukan DPMM FC juga bermain dengan baik dan telah berusaha untuk menentang pasukan kami," katanya.


Beliau menambah, walaupun beliau gembira dengan kemenangan tersebut, perlawanan pertama berkenaan masih belum cukup untuk pasukannya berasa selesa.

 

Close